SHAHIR MENGAKU, ERRA PULA TERKILAN | KUALA LUMPUR - Pelakon Erra Fazira meminta semua pihak tidak terlalu terkejut dengan pengakuan Shahir (AF8) tentang hubungan yang terjalin di antara mereka.
SHAHIR MENGAKU, ERRA PULA TERKILAN
Tanpa menafikannya, menurut Erra, antara dia dan penyanyi lelaki popular itu memang berkawan.
“Tetapi tidak wujud definisi hubungan istimewa,” tegas Erra ketika ditemui dalam majlis di Kuala Lumpur malam tadi.
Bekas Ratu Cantik Malaysia 1992 ini turut melahirkan rasa terkilan terhadap sikap pihak-pihak tertentu yang bersikap memperbesar-besarkan berita berkenaan.
“Kenapa perlu diperbesarkan soal ini, saya memang boleh berkawan dengan sesiapa juga yang saya ingin berkawan.
“Saya fikir Shahir sendiri mesti terkejut apabila soal ini tiba-tiba dibangkitkan. Apa yang diberitahu Shahir itu sebenarnya sudah disalah erti, memang kami berkawan tetapi hubungan itu bukan seperti yang diperkatakan orang,”katanya.
Enggan mengulas lanjut soal bekas suami yang dikatakan masih menunggu ‘kepulangan’ Erra dan menyambung semula ikatan perkahwinan mereka, dia yang sudah empat bulan menjanda mengakui semakin selesa dengan kehidupannya kini.
“Maaf soal itu sensitif. Saya dan bekas suami masih berbaik demi anak. Kehidupan saya kini biasa-biasa sahaja, tiada apa yang terlalu berbeza,” katanya, lapor Utusan.
0 comments:
Post a Comment