'SAYA MENYANYI UNTUK PAHALA' - NICKY ASTRIA

'SAYA MENYANYI UNTUK PAHALA' - NICKY ASTRIA | Vokalnya masih mantap dan memukau. Bahkan auranya masih kuat apabila berjaya menarik kehadiran penonton bagi menyaksikan persembahannya di kelab The Ship, Bukit Bintang malam minggu lalu.

'SAYA MENYANYI UNTUK PAHALA' - NICKY ASTRIA

Ternyata penyanyi Indonesia Nicky Astria yang popular menerusi lagu Mengapa dan Samar Bayangan masih mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Cukup hanya menyampaikan beberapa lagu antaranya Mengapa dan lagu I Love You Babe daripada album terbarunya Retrospective, Nicky berjaya menghangatkan suasana malam di kelab penuh sesak dengan kehadiran pengunjung yang berada sejak awal lagi bagi menyaksikan persembahannya yang bermula pada jam 11 malam.

Peminat yang mulanya dihiburkan dengan per­sembahan menarik daripada Angie dan kumpulan Anthem, bersorak keriangan apabila pengacara mengumumkan kemunculan Nicky bagi me­ngadakan per­sembahan. Sebagai penyanyi yang berpengalaman, dia bijak berkomunikasi dengan peminat yang hadir memberi soko­ngan.

Bukan sekadar me­ngadakan persembahan, Nicky turut mengambil kesempatan menjual album Retrospective kepada penonton yang hadir. Pembelian ini turut disertakan dengan tandatangan istimewa Nicky selain peluang bergambar dengannya.

Kesempatan ini bukanlah selalu datang. Justeru peminat segera mendapatkan album mengandungi 16 lagu ini bagi memperoleh peluang bergambar dengannya.

Menariknya, ada dalam kalangan mereka terdiri daripada peminat generasi baru yang meminati lagu Nicky.

Selain peminat, persembahan ini turut disaksikan komposer LY dan isterinya Baiduri serta beberapa artis lain antaranya kumpulan Sixth Sense yang mengakui kehebatan Nicky.

Ditemui selepas itu, Nicky merakamkan penghargaan buat semua pihak yang menyambut dan melayannya dengan baik sepanjang berada di negara ini.

“Saya tak sangka dan gembira dengan sambutan hebat yang diberikan. Sememangnya saya sendiri sudah lama teringin bertemu peminat Malaysia. Justeru, kehadiran sempena promosi album Retrospective digunakan sebaiknya dengan mengadakan showcase khas ini buat penonton.

“Biarpun dunia hiburan menyaksikan kehadiran ramai penyanyi baru, peminat Malaysia nampaknya masih menerima saya. Terima kasih kepada LY yang mencipta lagu Mengapa yang sangat indah dan menarik ini. Saya sangat teruja dapat kembali beraksi di Malaysia,” kata penyanyi berusia 47 tahun yang bernama sebenar Nastiti Karja Dewi ini.

Mengimbas kembali kisah lalu, Nicky yang begitu popular pada era 1980-an dan 90-an membuat kejutan apabila meninggalkan bidang nyanyian sejak 10 tahun lalu dengan alasan menumpukan perhatian sebagai suri rumah sepenuh masa. Ketika itu peminat terasa kehilangan penyanyi yang dikenali dengan genre rock dan digelar ‘lady rocker’ ini.

Bagaimanapun, darah seni yang mengalir dalam tubuhnya tetap membara dan akhirnya penyanyi dari Bandung ini membuat keputusan merakamkan tiga lagu baru iaitu Carry On, Bias Sinar, Cinta di Kota Tua di samping lagu lama yang dipetik daripada album terdahulu.

“Agak susah sebenarnya mengucapkan selamat tinggal kepada dunia seni. Apabila sudah melangkah masuk sebagai artis, saya tak boleh lagi melangkah keluar. Saya melihat ‘trend’ muzik yang bersilih ganti dalam industri muzik Indonesia mahupun Malaysia tetapi cita rasa saya tetap de­ngan muzik rock kerana genre inilah yang mengangkat nama saya kepada peminat.

“Retrospective yang kini sudah berada di pasaran diharap menjadi tanda kebangkitan saya dalam industri muzik. Kehadiran saya bukanlah untuk bersaing, sebaliknya mahu memeriahkan semula industri seni selain mengubat kerinduan peminat,” katanya.

Sudah tentunya gandingan mantap dengan LY dan Baiduri diteruskan lagi dan untuk kali ini, Nicky mempertaruhkan lagu I Love You Babe yang ditampilkan sebagai single pertama.

“Saya sangat percaya de­ngan kemampuan LY menghasilkan lagu yang menarik dan boleh diterima pendengar. Kami sudah serasi dan tahu kelebihan masing-masing. Bagaimanapun, saya tak menolak lagu lain antaranya Carry On (Terus Melangkah) dan Alright yang kedua-duanya ciptaan Young Soewarno/Maryati turut mempunyai kekuatan sendiri.

“Tiga lagu baru ini yang digabungkan dengan lagu hit terdahulu antaranya Panggung Sandiwara (Taufik Ismail/Ian Antono), Jarum Neraka (Ian Antono/Areng Widodo), Bias Sinar (Younky Soewarno/Pamungkas NM), Mengapa (LY/Baiduri), Cinta Di Kota Tua (Donny Fattah/Yudhie NH), Misteri Cinta (Ully Sigar Rusady), Gelombang Kehidupan (Younky Soewarno/Maryati) dan Suka (Ian Antono/Ali Akbar) pasti memberi kepuasan buat semua,” katanya.

Selain menggunakan khidmat Ian Antono yang juga pemain gitar Godbless dan Younky bagi memilih lagu terbaik yang ditampilkan, Nicky turut memilih mereka dalam peng­garapan album ini sehingga terbentuk sebuah sinergi muzik yang menarik.

“Saya tak mahu menjadikan album Retrospective ini sebagai projek kerinduan semata-mata. Untuk itu, saya tetap tampilkan muzik segar dan terkini yang kena dengan cita rasa golongan muda. Saya memilih Andy Bayou sebagai salah seorang produser album ini.

“Dia membuktikan pemilihan ini tepat apabila memberikan sentuhan menarik untuk lagu Cinta Di Kota Tua yang turut menampilkan Rama Moektio, salah seorang pemain dram muda yang berbakat masa kini,” katanya.

Memulakan karier seninya menerusi album pertama berjudul Semua Dari Cinta pada 1984, Negeri Khayalan (1995) sehingga album Kemana (2003), Nicky keseluruhannya sudah menghasilkan 14 album serta belasan single.

Bukan semata-mata mengejar komersial dan keuntu­ngan, Nicky sebenarnya mempunyai perancangan lain yang lebih mulia apabila menghasil­kan album terbarunya ini.

“Saya terdorong untuk membantu golongan kurang bernasib baik. Jadi, semua royalti penjualan album Retrospective akan disumbangkan kepada mereka yang memerlukan biaya pendidikan. Dulu saya menyanyi untuk populariti dan kesenangan, sekarang menyanyi untuk mendapatkan pahala,” katanya.
Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment